Sekali lagi saya lihat pemahaman masyarakat Malaysia caca merba sedikit. Saya ingin menerangkan PUI dan PUS.
1. Jika anda ada KONTAK RAPAT dengan pesakit COVID19, anda adalah PUI (person-under investigation), jadi ASINGKAN diri anda. JANGAN keluar bilik sampai sekurang-kurangnya SEPULUH HARI dari tarikh akhir anda ada kontak dengan seseorang yang COVID19 positif.
Elok menjalani ujian PCR jika anda PUI. Tapi bila keluar rumah, pergi seorang diri. Jangan pula heret satu rumah. Tapi, jika tiada kesempatan untuk ujian dan anda sihat tidak mengapa. Hanya ASINGKAN diri. Rujuk no 3.
2. Apa itu PUS? Person under surveillance. Ini maksudnya jika anda ada KONTAK RAPAT dengan seseorang yang PUI-nombor 1 (seseorang yang ada kontak rapat dengan yang positif), anda adalah PUS. Selagi keputusan PUI tidak keluar, anda perlu ASINGKAN diri. Hanya boleh keluar dari pengasingan jika PUI itu disahkan negatif. Jika PUI itu sah positif, anda automatik jadi PUI. Status anda “upgrade” jadi PUI. Ikut arahan no 1 pula.
3. Apa maksud ASINGKAN diri?
Duduk di DALAM BILIK. Berseorangan. Ziarah bilik ke bilik pun TIDAK BOLEH. Makanan dihulurkan ke dalam bilik. Kalau anda sayang keluarga anda, ini perlu diikuti. Jika anda tidak ikut, maknanya anda memang mahu jangkitkan orang-orang sekeliling anda yang anda sayangi.
Macamana nak tahu anda kontak rapat seseorang? Jika anda berjumpa mereka: tidak ada penjarakan fizikal (salam peluk cium), tidak memakai pelitup muka, makan minum merokok sama-sama tiada penjarakan fizikal, solat tanpa jarak, membawang lebih 15 minit walau pakai pelitup muka), itu sudah jatuh label kontak rapat.
Berkelakuan lah baik-baik.
Tidak payah bergantung samada anda bergelang pink atau tidak.
Jalan kan tanggungjawab tanpa disuruh.
Ini sahaja caranya.
Facebook Dr Rafidah Abdullah, Pakar Perunding Perubatan